Abam Jiwa Al-Hadi

My photo
JURUFOTO LANDSKAP MALAYSIA 0125079961

Wednesday, October 26, 2011

AKU, TANTALUM, TEH TARIK DAN LOGISTIK




Assalamualaikum.

14 tahun yang lalu saya pernah menjawat jawatan sebagai Pembantu Tadbir (kontrak) di sebuah badan berkanun. Sempat setahun sahaja di situ sebelum saya menyambung pelajaran ke Universiti Malaya (batch 1997 - 1998 Dip. Linguistic). Tamat pengajian di UM, ramai kawan-kawan saya satu batch yang menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Pengajian Bahasa - Edu di UPM. Saya pula, memilih untuk pulang ke kampung dan berkerja korek tantalum. :)) Tau apa itu tantalum?? Ianya adalah sejenis bahan mentah yang dihasilkan dari sisa-sisa bijih timah atau lebih dikenali sebagai tahi bijih.

Jika anda rajin baca ini anda pasti sangka saya berkerja sebagai ahli geologist atau nuclearist hehe. Sebenarnya, saya dan ratusan orang lain yang berkerja menggali tantalum ini lebih tepat didefinisakan sebagai pelombong. Tetapi kami tidak menggali emas atau timah sebab bahan yang kami gali itu adalah tahi bijih yang mempunyai sedikit kandungan radioaktif. Kami berkerja secara haram , siang dan malam, hujan dan panas, kering dan lembab. Dan hasilnya amat lumayan.

Tantalum ini asalnya dah lama wujud seperti yang dinyatakan dalam wiki di atas, namun hanya dikenali di sekitar Butterworth pada tahun 1999. Dahulu, orang putih yang membina kilang bijih Malaysia Smelting Corporation kat Butterworth tu tidak tahu bahawa menatang tantalum ini mempunyai nilai yang tinggi dan mereka tidak tahu mana nak letak sisa-sisa mineral ni sebab terlalu banyak. Nak dibuang ke laut takut laut cetek dan terhasil pencemaran. Jadi, mereka tanam balik benda ni dalam tanah dan ada juga yang digunakan sebagai tapak rumah. Kawasan sekitar kilang itu pula berdekatan laut. Untuk mengelakkan tanah mendap, mereka gunakan tantalum untuk dijadikan tapak rumah dan kuarters.

Apabila tantalum mendapat permintaan, entahlah macam mana dan siapa yang memulakan ekspedisi mengorek tantalum ini, harga melambung sehingga RM8 sekilogram. Seketul tantalum sebesar penumbuk, ada yang mencecah sekilogram dengan mudah. 2 ketul dah dapat 2 kilo. Kalau dapat seketul besar tayar lori???? Banyak duit tu bro.. Tantalum terbesar yang pernah saya gali sebesar sebiji buah kelapa dan beratnya mencecah 30 kilogram. Seketul tu saja saya dah dapat hasil RM240. Bayangkan, kalau dapat sepuluh ketul dalam masa tak sampai sehari. Korek tak payah dalam-dalam, paling dalam pun 3 - 4 kaki ja. Dan di kawasan tu pula memang dah tentu ada, cuma besar atau kecil saja. Saya dan dua orang rakan pernah projekkan benda ni sampai 500kg dalam masa 24jam. kami berkerja 3 hari berturut-turut. Esoknya salah seorang kawan saya tu dah beli sebiji EX5 ...cash!!

Guni sebesar guni gula tu mampu memuatkan sehingga 50kg. Jika anda berkerja secara solo, dapat sehari seguni penuh dah kira lumayan. Tapi, berkerja solo ni memang patah pinggang la bang, Sendiri korek, sendiri tampi, sendiri timbang, sendiri angkat letak atas lori. Silap haribulan boleh pengsan dalam lubang. Waktu malam, keadaan di padang tu tak ubah macam negeri Mordor (LOTR). Pokok angsana yang hidup di situ selama beratus tahun pun kami tumbangkan. Dan dibawah akar pokok itu, sumpah....penuh dengan tantalum. Sangat mewah. Ada juga yang melampau sampai masuk ke bawah lantai rumah orang. Habis belubang lantai kuarters tu. Yang paling best, seorang kawan yang menghuni kuarters tu, dia tebuk dan korek lantai rumah dia sendiri kekekekeke. Itulah penangan tantalum.

Sehingga satu masa, harga jatuh merudum ke RM0.25 sen. Padang tantalum itu telah dimonopoli oleh seorang Datin bini Datuk mana entah.  Bila harga dah turun, kerja itu pun mereka deklarasikan sebagai halal. Sesiapa sahaja boleh datang gali asalkan hasil galian wajib dijual kepada pihak yang memegang permit tu sahaja. Tidak boleh dijual terus kepada peraih yang menjanjikan harga yang lebih lumayan. Sejak dari itu, saya pun berhenti berkerja sebagai pelombong haram. Hampir setahun berkerja sebagai pencari tantalum meninggalkan pelbagai kenangan pahit manis. Demam tu perkara biasa, luka, calar terseliuh, terbenam dalam lumpur, di panah petir. Yang mati pun ada (berita di sini) . Dan yang paling penting ialah pengalaman. Saya lihat berbagai jenis manusia di situ. Sudah pasti mereka bukan orang kaya yang ada harta berjuta-juta. Jika mereka kaya, mereka tidak akan menggadaikan nyawa di situ. Ada yang bawa kaum keluarga dari Kedah, berkhemah di situ selama seminggu. Yang datang dari Ipoh dengan motosikal. Semuanya kerana ingin mencari kemewahan dari perut bumi. Mereka tidak pedulikan soal nyawa. Yang mereka mahu ialah sedikit kekayaan bumi yang mereka rasa patut dikongsikan sesama mereka. Walaupun selepas aktiviti ini akhirnya diwartakan sebagai haram oleh pihak berkuasa tempatan dan tapak galian ditutup terus, mereka yang pernah berada di sini masih tidak kaya. Mereka kembali hidup seperti mana mereka hidup sebelum wujudnya lombong tantalum. Namun sekurang-kurangnya mereka dapat merasa sedikit kemewahan yang tidak juga mudah, tetapi pantas. Datang melombong hari ini, esok dah boleh beli rantai emas untuk isteri dan KFC untuk anak-anak. Itulah niat mereka yang betul. Dari segi soal halal dan haram, saya kurang pasti. Yang saya tahu tanah itu milik Malaysia Smelting Corporation dan mereka tidak pernah menghalang pelombong dari melombong di situ. Perkerja mereka juga ramai yang turut serta memeriahkan keadaan. Kilang mereka sebelah menyebelah saja dengan padang lombong tu. Yang menghalang kerja-kerja menggali ni adalah dari pihak berkuasa tempatan atas alasan keselamatan. Jadi, saya tidak fikir yang kami telah makan hasil haram. Titik peluh dan darah kami di situ tidak sama dengan titik peluh orang yang panjat pokok pelam jiran sebelah untuk curi buah pelam.

Nantikan episod TEH TARIK dalam entry akan datang.

Sekian.

Abamjiwa

1 comment: